Saturday, November 27, 2010

Kenali insurans haram


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SECARA ringkasnya, perbincangan hukum insurans dibincangkan
dengan panjang lebar oleh ulama, terutama di kalangan ulama Asia Barat.
Oleh kerana sistem insurans adalah ciptaan yang dikira baru menurut zaman,
iaitu sekitar 1666 di London, ia hanya menembusi dunia Islam Arab sekitar 1830.
Insurans konvensional adalah kontrak perniagaan yang termasuk dalam Kontrak
Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu’awadat Maliah).

Ia mewajibkan syarikat insurans membayar jumlah tertentu kepada pencarum
insurans apabila berlaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang
ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar tertentu. Ia juga
bergantung kepada jumlah caruman pencarum.


Kontrak insurans ini mengandungi ciri-ciri berikut:
1. Reda antara kedua-dua pihak (iaitu syarikat insurans dan pencarum). Ia ibarat
kontrak perjanjian yang lengkap dan mengandungi aspek ‘ijab dan kabul’.
2. Pihak yang memberi insurans, iaitu pihak syarikat insurans.
3. Pencarum, iaitu individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat
perjanjian dengan syarikat insurans.
4. Pihak yang menerima manfaat, iaitu seperti anak kepada individu atau isteri
dan lain-lain.
5. Kebahayaan atau musibah. Merangkumi jenis musibah atau kemalangan
yang diandai serta ditentukan di dalam kontrak seperti kecurian, kebakaran,
kecederaan dan kematian.

Bentuk insurans adalah seperti insurans terhadap musibah menimpa tubuh,
insurans nyawa, insurans harta dan pecahannya (kereta, motosikal, rumah
dan lain-lain), insurans kemalangan jalan raya, insurans kerja dan sebagainya.

Bagaimanapun, ada beberapa sebab yang menjadikan insurans konvensional
haram kerana ia turut ‘diselubungi’ riba.

Ia adalah perbincangan ‘ilmiah’ dan memerlukan ‘basic knowledge’ tertentu
yang kukuh untuk memahaminya dengan sempurna.

Bagaimanapun, penulis akan cuba memudahkan dalil ini demi memberi
kefahaman sebaik mungkin di kalangan pembaca.

Selebihnya pembaca perlu melakukan kajian dan rujukan kepada ilmuan
Takhassus Fiqh di universiti bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci.

Demi mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mesti
mempunyai ilmu asas berikut:
1. Pembahagian kepada Aqad Mu’awadat (Pertukaran) &
Tabarru’ah (Derma atau Sumbangan).
2. Riba dan pembahagiannya.
3. Syarat jual beli dalam Islam.

Menurut majoriti kumpulan ilmuan dan ulama Islam, insurans konvensional
adalah haram kerana wujud unsur riba yang jelas di dalamnya.

Ini kerana, riba jelas wujud apabila syarikat insurans membayar jumlah
tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah.

Ia dianggap riba kerana wang (daripada pencarum) berbalas wang
(daripada syarikat) dengan jumlah berbeza, padahal wang adalah
unsur ‘ribawi’ (usurious items) sebagaimana enam unsur disebutkan
Rasulullah SAW di dalam hadisnya.

Rasulullah SAW mensyaratkan dengan jelas, apabila ‘bermu’amalah’
di antara dua unsur ribawi yang sama jenis (contoh di sini adalah wang
daripada pencarum dengan wang daripada syarikat insurans),
ia mestilah terikat dengan syarat:
1. Sama Nilai (mathalan bi mathalin).
2. Diserahkan ketika mu’a- malah dilakukan. (Yadan diyadin)

Syarat ini bersumber hadis Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Jangan kamu menjual emas dengan emas kecuali bersamaan nilaian
dan timbangannya, jangan kamu melebihkan satu daripadanya di atas yang lain.

“Jangan kamu menjual emas dengan pulangan emas atau perak dengan
pulangan perak kecuali (mestilah ia) dalam timbangan dan nilaian sama.”

Maka, setiap perbezaan nilai (dalam unsur ribawi) dianggap Riba al-Fadl
yang diharamkan (Tahrim Wasail).

Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza,
maka berlakulah Riba al-Fadl. Ini kerana tidak wujud kesamaan nilai
dalam urusniaga dua unsur ribawi itu.

Pembayaran yang bertangguh dalam dua barangan Ribawi adalah
Riba An Nasi’ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT
di dalam al-Quran.

Dalam hal insurans, sudah tentu berlaku penangguhan, iaitu apabila
pencarum terkena musibah, baru akan dibayar jumlah tertentu.

Prof Dr Muhd Baltaji (ulama besar di Universiti Al- Qaherah - sudah
meninggal dunia) menjelaskan, kontrak insurans sama sekali tidak
boleh lari daripada Riba An-Nasi’ah.

Beliau juga menegaskan, mana-mana hujah untuk lari daripada
anggapan riba ini adalah helah yang tidak sah menurut pandangan syarak.

Justeru, insurans berkenaan mempunyai unsur kedua-dua jenis riba
seperti dinyatakan.

Walaupun ada kalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan
daripada carumannya, bahkan hanya untuk berasa lebih selamat t
erhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya,
tetapi ia tetap dianggap riba.

Zahir urus niaga insurans tadi cukup untuk dikategorikan sebagai riba,
walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya
(iaitu mencari untung).

Dalam berapa banyak kes, pasti kita mendengar ada individu
sengaja membakar kilangnya akibat perniagaan yang rugi atau
pembunuhan ahli keluarga untuk mendapatkan wang insurans
bernilai jutaan ringgit.

Riba juga boleh berlaku dengan sangat jelas apabila wang
caruman itu diperniagakan oleh syarikat insurans konvensional
di dalam syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan
(biasanya di bank konvensional, bukan secara mudharabah) atau
mana-mana syarikat yang bermu’amalah secara riba. Berlakulah
pertambahan wang caruman tadi hasil simpanan wang berkenaan.

Malah, keadaan lebih teruk jika syarikat insurans meletakkan wang
itu di dalam syarikat yang melakukan urusniaga haram seperti arak
atau perjudian.

Kesimpulannya, insurans konvensional itu menjadi haram kerana
‘akad’ yang diubah itu tadi.

Insurans konvensional menggunakan akad pertukaran milik harta
(Aqad Mu’awadat Maliah) yang dikira sebagai akad jual beli.

Sebagaimana perlu kita fahami, akad jual beli memerlukan penjelasan
dalam urusan membabitkan penjual, pembeli, benda yang dijual dan nilainya.

Dalam konteks insurans konvensional, ia boleh diibaratkan seperti berikut,
iaitu syarikat insurans mempunyai masalah dalam urusan benda yang dijual.

Ini kerana apabila si pembeli membeli jaminan wang, ia dikira pertukaran
matawang dengan matawang sama (RM kepada RM).

Ketika itu, ia sepatutnya menuruti syarat ditetapkan Rasulullah SAW iaitu
serah terima dan jumlah sama.

Bagaimanapun, hal ini tentu tidak berlaku kerana:
a) Si pembeli (pencarum) meletakkan wangnya hari ini, dan jumlah
tertentu dan jaminan itu pula hanya akan diberi kemudian. Ini menyebabkan
ulama menganggapnya Riba Nasi’ah.

b) Si pembeli juga tidak tahu berapakah nilai jaminan yang bakal diperolehnya.
Walaupun nilainya dinyatakan dalam skim insurans ini, syarat akad jual beli
memerlukan si pembeli mengetahui dengan tepat berapa nilai yang akan
diperolehnya.

Sudah tentu ini tidak akan dapat diberitahu oleh syarikat kerana musibah
belum berlaku. Justeru, di sini pula ia dianggap ‘Gharar’. Malah gharar juga
di sudut pembeli yang tidak pasti adakah tahun itu ia akan berlaku kemalangan
dan memperoleh benda yang dibelinya.

c) Ia dianggap judi pula kerana mempunyai elemen pertaruhan, iaitu meletakkan
sejumlah wang bagi memperoleh sesuatu yang tidak pasti, dengan risiko wang
yang diletakkan hangus atau tidak dikembalikan.

Pengharaman insurans konvensional disepakati ulama, antaranya
As-Syeikh Al- Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (1836), As-Syeikh Al- Imam
Muhd Abu Zuhrah (meninggal dunia pada 1972, Prof Syari’ah di Universiti Kaherah,
dianggap ulama terulung dalam Ilmu Fiqh), termasuk As-Syeikh Prof
Dr Yusoff al-Qaradhawi.

Perlu diingatkan bahawa beberapa Nadwah, Muktamar dan mesyuarat
yang menggabungkan ulama terulung seluruh dunia sudah beberapa
kali diadakan. Di mana, mereka juga membincangkan mengenai kontrak
insurans yang banyak diguna pakai pada masa kini.

Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali pertama
pada 1976 di Makkah, di mana hasil keputusan mereka ialah insurans
jenis perniagaan atau konvensional adalah haram. Sebab utamanya
adalah ia mempunyai unsur riba dan Gharar.

Selain itu, Majlis Kesatuan Ulama Besar bermesyuarat pada 1977
di Arab Saudi turut menyatakan insurans jenis perniagaan adalah haram.

Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia (Majma’ al-Fiqh al-Islami) yang bersidang
lagi pada 28 Disember 1985 di Jeddah juga, memutuskan sekali lagi
pengharaman insurans jenis perniagaan.

Majma’ Fiqh juga secara nyata mengharuskan insurans jenis
kerjasama (ta’awuni) atau TAKAFUL dan mencadangkannya sebagai
alternatif insurans perniagaan dan lebih digalakkan.

Suka Tak ?

Related Posts with Thumbnails