Saturday, November 20, 2010

Jemaah haji siap sedia untuk pulang

BERIBU-RIBU jemaah haji melakukan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah di Mekah, semalam. - REUTERS


MEKAH 20 Nov. - Musim haji secara rasminya berakhir, semalam setelah 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia selesai menunaikan tawaf di Kaabah dan saie di Masjidil Haram.
Sementara itu, sebahagian jemaah daripada beberapa negara telahpun pulang hari ini, manakala yang lainnya masih berada di Mekah dan sebahagian lagi menuju ke Madinah untuk melawat Masjid Nabawi dan melakukan ibadat di sana.
Sebahagian lagi pula mengambil kesempatan untuk membeli-belah di bazar-bazar di kota suci ini sebelum pulang.
Musim haji tahun ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden buruk. Pada peringkat awal, jemaah haji berdepan cabaran ekoran cuaca panas, terutama di Mekah, Arafah dan Mina.
Namun, ketika jemaah selesai melakukan wukuf di padang Arafah, hujan lebat di Mina dan Mekah petang kelmarin menyebabkan berlaku banjir kilat menenggelami jalan-jalan raya dari Mina ke Mekah dan juga banjir di kota suci itu.
Statistik kerajaan Arab Saudi menunjukkan kira-kira 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan haji pada tahun ini, meningkat daripada anggaran asal sebanyak dua juta jemaah.
Daripada jumlah itu, seramai 1,799,601 adalah jemaah asing dan 989,798 lagi adalah jemaah tempatan, menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 2,789,399. Peningkatan berlaku ekoran kebanjiran jemaah haji tanpa permit.
Jumlah jemaah haji Malaysia pula ialah seramai 26,000 orang yang tiba dengan penerbangan pertama sejak 9 Oktober lalu. Setakat ini, seramai 22 jemaah Malaysia dilaporkan meninggal dunia di tanah suci Mekah.
Penerbangan pertama membawa pulang jemaah haji Malaysia dijadual pada 22 November ini, manakala penerbangan terakhir pada 21 Disember. - AGENSI

Jemaah kembali ke Mekah

Beribu-ribu jemaah haji kembali ke Mekah untuk menunaikan tawaf mengelilingi Ka’abah, semalam. – REUTERS


MEKAH 19 Nov. – Seramai 2.8 juta jemaah haji bergegas menyempurnakan ibadah melontar jamrah di Mina hari ini dan kembali ke Mekah bagi menunaikan tawaf dan saie, ketika ribut melanda kawasan itu, sekali gus memburukkan lagi kesesakan di jalan-jalan raya dari Mina menuju Mekah.
Jemaah haji yang selesai melontar jamrah di Mina pada sebelah pagi, bergegas kembali ke kota suci itu untuk menunaikan tawaf seterusnya ibadah saie.
Barisan panjang jemaah memenuhi jalan Raja Abdul Aziz yang menyambungkan tapak melontar jamrah di Mina dengan Masjidil Haram di Mekah.
Hujan dan ribut melanda Mina dan Mekah semalam ketika beribu-ribu jemaah yang tidak dibenarkan berkumpul di laluan pejalan kaki, sekali gus menyesakkan lagi laluan menuju ke Mekah.
Ribut yang tidak dijangka itu berlaku petang semalam selepas hujan renyai-renyai mengakibatkan khemah-khemah jemaah yang menyelinap masuk ke lembah ini tanpa permit diterbangkan angin.
Walaupun hujan semakin reda, namun ia telah menyebabkan jalan-jalan menuju ke Mekah dipenuhi lopak dan mengakibatkan jemaah terpaksa berbaris panjang untuk menaiki koc ke Mekah hari ini.

Suka Tak ?

Related Posts with Thumbnails